Friday, August 12, 2016

Umrah : Persediaan & Perjalanan



Post kali ni nak cerita pasal umrah. Alhamdulillah, dapat jugak jejak kaki ke Tanah Suci...walaupun masa mula-mula tu macamm..erm....tapi, tetiba dia, pap! Terus pegi. hihi. *melalut* Ini pertama kali aku pergi. Mak & Abah dah pernah pergi haji & umrah sebelum ini.

Sebagai first timer..hehe...ada beberapa perkara yang boleh kita ambil kira untuk persediaan sebelum dan semasa kat Mekah dan Madinah. Kat bawah ni aku listkan untuk rujukan masa depan :)

1. AGENSI UMRAH

Perkara pertama yang kena buat, survey agensi mana yang kita nak join. Mana-mana pun ok. Ada banyak agensi kat Malaysia ni yang boleh dipilih. Tapi, pastikan harga agensi tu tak kurang daripada RM4,500 sebab mengikut perkiraan Kerajaan, takkan dapat nilai tu untuk umrah (boleh rujuk kenyataan YB Menteri), kecuali la kalu kome nak buat umrah backpacker ke, umrah ala carte ke (haa..adeke ala carte)...tu lain cerita la harganya.

Agensi pun ada yang tawarkan buat 5 umrah atau 7 umrah. Ikutlah apa yang kita nak, nak dekat masjid ke..nak bilik sorang ke, berdua, bertiga, berempat ke..nak dedicated mutawif untuk family kita je ke...semua boleh bincang :)

Bila dah jumpa agensi yang berkenan di hati, boleh la bincang semua perkara-perkara tadi. Kemudian kena serahkan maklumat kat agensi untuk proses mohon visa.

Selalunya agensi pun dah tetapkan tempat mana nak ziarah kat Mekah/ Madinah nanti.


2. VISA

Visa agensi yang uruskan dan sekurang-kurangnya sebulan sebelum pergi dah kena mohon. Untuk permohonan visa ada beberapa dokumen kena serah.

 - pasport
- salinan IC
- salinan surat nikah yang disahkan oleh Pejabat Agama (untuk suami isteri)/ salinan surat beranak yang disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (untuk anak -- macam aku)
- buku vaksin

Buku Vaksin ni kena mintak kat Pejabat Kesihatan berdekatan. Kerajaan Arab Saudi dah wajibkan untuk semua jemaah ambil vaksin sebelum buat umrah. Vaksin ni aku amik kat Hospital An Nur, Bangi. Tak semua klinik & hospital ada stok vaksin ni..jadi, kena tanya dulu tempat tu ada ke tidak.

Contoh buku vaksin. Abang kata gambar pipi terlebih -_-

3. KURSUS UMRAH

Sesetengah agensi ada sediakan kursus umrah untuk jemaah dorang. Macam agensi aku pun ada, tapi sebab buat kat Perak...aku menumpang kasih dengan TH hihi.

Sesetengah masjid pun ada buat kursus umrah, kena rajin tanya atau bukak website masjid berkenaan, macam Masjid Besi (Masjid Sultan Mizan), Putrajaya. TH ada buat kursus percuma di 3 tempat, Menara TH, Masjid Besi dan lagi 1 aku lupa...

Untuk kat Masjid Besi, boleh walk-in je...tengok jadual bila ada kursus, lepas tu datang je hari kejadian.


4. PERALATAN/ PAKAIAN

Lelaki paling penting, kain ihram. Ada agensi yang bagi percuma kain ihram. Abah bawak dua je kain ihram, satu pakai, satu lagi boleh basuh.

Untuk perempuan, macam biasa banyak sikit.
- telekung (warna putih sunat)
- hand sock
- stoking
- baju/ jubah/ tudung secukupnya

Baju ni, boleh basuh je..tak payah buat berat beg bawak banyak-banyak :) Sempat je nak basuh & tunggu baju tu kering.

Cadangan pakaian untuk perempuan (dengan menganggap tahap kerajinan membasuh pakaian adalah tinggi. Kalau malas, dobi ada. Kalau malas & taknak keluar duit...bawak je baju banyak-banyak..habis cerita)
- 2 helai telekung (tak payah bawak kain pun takpe..aku tak guna pun)
- 3 helai jubah/ baju kurung (jubah je senang..sarung jer)
- 2 tudung
- 2 baju tidur
- 2 handsock
- 4 stoking
- 1 towel


Barang lain macam spray untuk wuduk, bawak lah..senang..nak pergi tempat wuduk nanti jauh pulak. Bukak Youtube boleh belajar cara-cara wuduk guna spray (berguna jugak untuk masa dalam flight).

Selain tu, boleh bawak gunting kecik untuk tahalul (gunting rambut nanti lepas sa'i).

Gunting Kecik
Bawak juga buku doa & buku nota. Buku doa tu, senang la nanti masa buat umrah, ikut je step. Sesetengah agensi akan bagi percuma je. Buku nota tu, tulis la doa apa nak baca...doa untuk diri sendiri dan doa orang kirim :)

Buku ni yang boleh gantung kat leher tu...buku ni aku beli kat MPH saje suka-suka..masa tu, tak terfikir pun nak pegi seawal ini :)
Ini buku yang agensi bagi
Masa kat Mekah, aku beli tasbih tawaf. Batu dia ada 7 je, senang nak kira tawaf & sa'i.

Ada 7 biji semuanya

Senang nak kira kan...batu tu tak jatuh ke bawah pun
Untuk memastikan kulit/ bibir tak sakit/ kering, bawak la jugak pelembab/ krim..contohnya macam Vaseline.

Paling penting...bawak lah ubat! Ubat-ubat yang basic macam ubat demam, panadol, selsema, sakit perut, minyak panas/urut & sakit tekak.

Agensi selalunya bagi beg yang ada tulis nama agensi tuu..hehe...macam aku dapat beg besar tu, sling bag, backpack & beg kasut.


5. PERSEDIAAN MENTAL/ FIZIKAL

Yang ni memang kena kena bergantung pada diri sendiri la..tak boleh nak pinjam-pinjam kalau takde :)

- doa banyak-banyak
- belajar/ cari rujukan
- stamina...takut semput nak tawaf/ sa'i nanti, tambah-tambah kalau bawak mak ayah kan..orang muda kena la lagi kuat :)
- bila dah kat sana...jangan judge orang! A BIG NO-NO!
- jangan marah-marah..senyum sajorr
- banyakkan bersabarrrr


6. SIMKAD

Siap buat point utama untuk simkad pule :) Penting ni..hehe..terutama bila famili duduk bilik asing-asing...senang nak roger..

"Abah..turun jom!"
"Abah..mak ajak gi beli eskrem!"
"Abah...makann jom!"

Sebaiknya beli di airport aje simkad ni..lagi murah. Di airport harga untuk simkad internet SR60..kat kedai SR120- 140 untuk simkad internet, SR60-70 untuk simkad call sahaja T_T.

7. PERBELANJAAN

Haa..yang ni subjektif. Terpulanglah kita nak membeli banyak ke..nak membeli sikit ke...Penjual kat Mekah/ Madinah boleh tawar-menawar...kebanyakannya faham/ tahu Bahasa Melayu/ Indonesia.

Untuk bajet, mungkin perkara kat bawah ni boleh diambil kira & ni hasil survey-survey kat sana juga (tak semua aku beli pun, survey sajor)

- kalau nak beli jubah harga lingkungan SR50-140. Yang murah pun dah ok dah.
- Simkad (SR60-140)
- kalau nak beli sejadah SR5-10 dah boleh dapat
- nak makan aiskrim/ jus/ kebab/ nasi arab/ roti...dalam SR5-10 (nak jimat, makan je kat hotel)
- tasbih beli kat kedai SR2 je. Aku beli tasbih tawaf je..sebab rare :)
- perfume paling murah SR20 1 kotak (12 pcs)
- Kurma Ajwa SR50
- buah zuriat dalam SR5 sebiji..pasar kat Bukit Uhud boleh dapat seplastik 3-5 biji SR5 je..huhu
- Inai serbuk SR5
- kalau nak wakaf Al Quran dalam SR50

Dah ada anggaran ni, boleh la agak-agak nak bawak berapa..


8. IBADAH DI MASJIDILHARAM & MASJID NABAWI

Nak masuk ke Masjidilharam &  Masjid Nabawi ada guard yang jaga. Selalu dorang akan check beg jemaah...dia nak tengok gitu-gitu je..tapi, ada yang kena rampas henpon...kalau dia nak check tu, jangan pulak duk mati-mati takmo bagi..nanti lagi dia nak selongkar.

Dah masuk tu, ingatlah nombor gate mana yang kita masuk tu....supaya tak sesat yang membawa kepada panik. Ingat ye...orang ramai...pintu pun banyak.

Ingat jugak gate mana yang terus mengadap hotel kita.

Masa solat/ tawaf/ sa'i tu..kita akan jumpa macam-macam jenis orang...kalau kena tolak tu biasa. Jangan pulak gi balas dendam :)

Gunakan peluang di sini sebaiknya!


Goal

Akhir sekali..berserah sahaja kepada Allah :)


Nota bawahan :
Rasa sungguh sopan post ini. hiks



















No comments: